Ads 468x60px

SELAMAT DATANG DAN TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG KAMI

Sejarah

Menurut sumber-sumber yang diperkatakan secara lisan dan rujukan kesesuaian bagi tarikh-tarikh peristiwa yang berlaku di Hulu Terengganu dan Negeri Terengganu khususnya adalah dipercayai bahawa kewujudan Kampung Telaga adalah antara sekitar Tahun 1100M.  Tarikh tepat tidak diperolehi.

Bedasarkan kepada sejarah tempatan yang dengan jelas menyatakan pada awal kurun ke 12 telah wujud sebuah kerajaan yang sangat maju di Kuala Berang yang pada masa itu disebut sebagai Fo-lo-an.  Catatan terbaik yang menjadi bukti kepada sejarah ini adalah catatan yang pernah dilakukan oleh seorang sejarawan China yang bernama Cau-Cu-Fei melalui  buku karangannya yang bertajuk Ling Wai-Tai Ta. Dicatatkan juga pada sekitar tahun 1300M  Islam telah mula bertapak di Kuala Berang yang dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat di Kampung Buloh yang bertarikh 1303M.

Justeru itu, kita dapat membuat satu kesimpulan bahawa inilah tarikh yang bersesuaian dan berkaitan dengan pembukaan kampung ini. Sesebuah pelabuhan besar tentunya memerlukan pembekal kepada segala keperluan di sesebuah pelabuhan. Sudah tentulah pada ketika itu telah wujud terlebih awal petempatan awal dari kemunculan kerajaan dan pelabuhan ini. Kebiasaannya sesebuah kerajaan bermula daripada sebuah kampung kecil yang berkembang menjadi  sebuah pusat pentadbiran yang akhirnya akan berperanan selaras dengan persekitaran sedia adanya. Jadi kita dapat rumuskan bahawa tarikh ini adalah bersesuaian.

Kewujudan guru-guru agama serta beberapa adat tinggalan Hindu dalam kehidupan boleh menjadi bukti tambahan kepada rumusan tadi. Sehingga kini kampung kami tidak pernah kekurangan warganya yang bijak pandai dalam bidang agama. Selain itu adat makan sireh masih lagi menjadi amalan biasa di kalangan warga tua kampung kami.

Dalam memastikan kemajuan dan perkembangan sesebuah kampung tentunya ada orang dilantik sebagai ketua. Antara Ketua-ketua kampung terdahulu dan  dikesan  adalah Penghulu Deraman yang dilantik sebagai ketua kampong pada awal 1930an, kemudian digantikan oleh Embong bin Omar, seterusnya Khatib Abdullah, Haji Tun Sulaiman Tun Abdullah, Haji Mat Isa Hassan, Haji Taib b Embong (2000-2004) dan kini disandang oleh tuan Haji Dzakaria Salleh bermula tahun 2004.

Dalam proses pencarian maklumat ini, saya diketemukan oleh orang tua-tua dengan beberapa nama yang selalu disebut-sebut dalam penceritaan mereka. Antara nama-nama tersebut adalah Tok Bilal Awang yang dikatakan bersaudara dengan Imam Hakim ayah kepada Haji Hussin (digelar sebagai Haji Bilal / Tok Janggut). Dimaklumkan bahawa Haji Bilal ini adalah bersepupu dengan Haji Mamat. Haji Mamat ini dikatakan ayah kepada Pak Chain dan Mak Long kidal. Selain itu nama-nama yang disebut-sebut adalah Tok Ba, diceritakan Tok Ba ini telah berkahwin dengan Mak Ngah Sara yang merupakan adik beradik dengan Mak Anjang Hitam dan Mak cik Lembek. Satu lagi nama yang juga disebut-sebut adalah Tok Herak.

Menurut orang tua-tua juga di katakan orang pertama dari kampung kami mengerjakan haji Ke Mekah adalah Haji Hussin. Diceritakan perjalanan mengerjakan haji pada masa itu tersangatlah sukar, yang memakan masa berbulan-bulan lamanya. Perjalanan dari kampung sehingga ke Mekah semua menggunakan pengangkutan air. Beliau berperahu ke Kuala Terengganu, Menaiki Kapal Laut ke Singapura dan bertukar Kapal untuk Ke Mekah di Singapura. Dikatakan sekembalinya beliau dari Mekah, beliau diberikan penghormatan yang begitu tinggi oleh orang kampong dengan menghampar tikar dari tebing sungai sehingga sampai ke rumah beliau sebagai alas hamparan perjalanan beliau.Haji Hussin ini ada dua anak iaitu Ali dan Mamat.  Dari jurai keturunan Ali ini adalah asal bagi keturunan YB Haji Mohd Zawawi b Ismail ADUN Kuala Berang. Dari sebelah Mamat pula lahirnya Khatib Abdullah.

Selain itu dikatakan ada juga nama-nama tokoh lama lain yang disebut-sebut seperti  Tok Omar Pendekar dan Pak Embong tetapi mereka ini bukan penduduk asal kampong Telaga. Mereka ini berasal dari kampong Tajin dan Kampung Butut. Dikatakan semasa pemberontakan tani 1928, terdapat beberapa penduduk kampung ini telah turut sama dalam pemberontakan tersebut.