Ads 468x60px

SELAMAT DATANG DAN TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG KAMI

Asal Usul Nama Kampung : "Telaga"

Kampung ini dinamakan sebagai Kampung Telaga adalah berdasarkan kepada kewujudan sebuah TELAGA TUA yang sangat berperanan dan berkait rapat sebagai nadi kehidupan penduduk. Telaga ini mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan tarikh kewujudan atau pembukaan kampung ini. Dikatakan bahawa Telaga yang dimaksudkan itu telah wujud bersamaan dengan kewujudan kampung ini sendiri. Bukti tarikh ini dapat diperkukuhkan lagi dengan kewujudan Telaga yang mempunyai unsur dan pengaruh senibina dari Siam. Telaga ini diperbuat daripada batu bata tanah yang disusun dalam bentuk bulat. Bata tanah ini dikatakan di bawa masuk oleh padagang-pedagang dari Siam.

Air Telaga ini merupakan sumber utama bagi penduduk di kampung Telaga bagi mendapatkan sumber air untuk keperluan membersih diri, membasuh pakaian, menyediakan makanan dan minuman. Kemeriahan penggunaannya dapat dirasakan diwaktu kemuncak iaitu di waktu pagi, tengahari dan petang, kerana telaga ini sentiasa menjadi tumpuan seluruh penduduk kampung. Apa yang pasti dalam situasi mana sekali pun air Telaga ini tidak pernah kering walau pun di kala musim kemarau yang teruk. Bekalannya mencukupi bagi menampung keperluan penduduk. Satu perkara yang cukup penting juga dikatakan bahawa jumlah Telaga yang pernah dibina di kampung ini pernah menjangkaui sejumlah 18 buah.  Atas kepentingan Sejarah kewujudannya dan sumbangannya kepada penduduk serta  Keunikan Telaga tersebut menyebabkan ianya masih dikekalkan sehingga kini. Namun atas tuntutan zaman dan perubahan masa maka beberapa tambahan telah dilakukan oleh penduduk kampong.  Fungsi pengunaan air Telaga ini hanya terhenti pada sekitar tahun 1980 apabila kampung ini telah mula dibekalkan dengan air bersih oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Bekalan Air Terengganu (JBA). Pada tahun yang sama juga kampung ini juga mula disediakan bekalan letrik 12 jam. Pada tahun 1986 barulah kampong ini dibekalkan dengan letrik 24 jam.